Assallammualaikum wrt wbt...
2017 & Cara Fikir Beragama KITA hampir menutup tirai 2016.
Tahun baharu sudah menjenguk di balik tabir. Bersedia untuk muncul bagi menyambung kitaran waktu berikutnya.
2016 bakal tersimpan dalam lipatan sejarah dengan pelbagai cerita. Lembaran tahun baharu 2017 masih lagi kosong, bersih dan terbentang luas.
Terpulanglah kepada setiap individu, lukisan kisah kehidupan bagaimanakah ingin dilakarkan pada tahun 2017 nanti.
Pilihan sentiasa ada. Peluang terbuka. Cuma, tidak pasti, adakah kita masih ada kesempatannya?
Jika hati kecil sentiasa membisik dan mendesak supaya berubah ke arah lebih baik, bertindak segera.
Usah bertangguh lagi.
Ya, waktu masih ada, bimbang waktu itu bukan lagi milik kita. Hidup dengan agama Dalam banyak perubahan yang dilakukan di tahun 2017 nanti, letakkan paling utama dan asasi ialah perubahan dalam cara kita beragama.
Bagaimana kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Seterusnya bagaimana menguruskan kehidupan di atas landasan agama.
Hidup kita tidak bernilai kecuali jika ia dikaitkan dengan sesuatu bernilai juga.
Tidak ada yang lebih bernilai dan berharga pada manusia berbanding nilai agama.
Jika hidup seseorang insan dilihat berjaya, mampu memiliki segala kesenangan, diberi pelbagai gelaran dan pangkat, tetapi jika semua itu jauh dari nilai agama tidak berguna.
Di samping kita mengejar impian hidup yang pelbagai, masukkan agenda utamanya ialah bagi menguruskan hidup ini selari dengan kehendak ALLAH SWT dan apa ditunjukkan Rasulullah SAW.
Aturlah kehidupan ini dengan acuan agama. Apabila agama menjadi acuan kehidupan, bentuk yang dihasilkan juga ada nilainya di sisi agama.
Ketika itu, dakilah setinggi mana pun kejayaan, kumpullah sebanyak mana pun kekayaan, dapatlah sepanjang mana pun pangkat dan gelaran, semua itu akan mampu membawa balik pemiliknya untuk tunduk dan lebih dekat kepada Tuhan.
Acuan agama yang mana perlu kita guna?
Hari ini, semua pihak ingin mengaitkan ajaran, seruan, amalan, gaya pemikiran sehinggalah produk jualan dengan nama agama. Ada yang betul dan diyakini ia benar daripada ajaran agama. Ada banyak juga yang menimbulkan tanda tanya, adakah begini cara yang diajar agama?
Tidak ada jalan yang paling pasti dalam beragama, melainkan kita perlu kembali kepada seruannya yang asal lagi tulen.
Sebagaimana ia diturunkan kepada Rasulullah SAW lalu Baginda SAW sampaikan kepada sahabat, seruan yang sama juga kita perlu pelajari, fahami dan mengamalkannya.
Kembalilah kepada ajaran agama yang asal. Tanpa ada tokok tambah.
Walaupun yang ditokok tambah itu kelihatan seperti baik, tetapi jika tidak bersumberkan apa yang disampaikan Rasulullah SAW lebih baik ditinggalkan.
Jika yang dikaitkan dengan agama tetapi tidak ada asal sumbernya, dilakukan dengan alasan "apa salahnya, inikan perkara baik", maka kita katakan kepada mereka, jika ia sesuatu yang baik, sudah tentu Rasulullah SAW dan sahabat lebih awal mendahului kita mengamalkannya.
Ini kerana, tidak ada satu pun perkara baik dalam beragama, kecuali sahabatlah golongan yang bersungguh mengamalkannya, lalu mempertahan dan menyebarkannya.
Ubah cara faham agama 2017 adalah tahun untuk kita semarakkan lagi perubahan dalam cara memahami ajaran agama.
Bersihkan Islam dari seruan yang tidak ada asal usulnya.
Kekuatan Islam terletak kepada kekuatan dalil dan hujahnya.
Apa sahaja yang hendak dikaitkan dengan Islam, bentangkan terlebih dahulu dalil dan hujah daripada al-Quran dan sunnah.
Sesiapa sahaja boleh bercakap mengenai apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam asalkan ia berlapik dengan dalil dan hujah yang sahih.
Bukan hanya ustaz yang boleh bercakap perihal Islam. Namun, jika yang digelar ustaz bercakap sesuatu yang dikaitkan dengan Islam, tetapi gagal mendatangkan sumbernya yang sahih, kita perlu bertanya dan memohon penjelasan daripadanya.
2017 bukan lagi tahun yang kita perlu mengikut sahaja apa yang keluar dari mulut ustaz dan tok guru.
Dalam beragama, kita ingin beramal dengan sesuatu yang pasti dan diyakini.
Bertanyalah dengan beradab, mohon kepastian di manakah sumbernya.
Zaman sekarang bukan lagi zaman orang ramai menadah telinga dan menelan bulat-bulat apa yang disebut ustaz berkenaan.
Bukan lagi zaman kita berfikir "dia ustaz, tak kan la apa yang dia sebut tak betul?".
Bukan juga zaman ustaz dengan mudah menyebut "jangan banyak bertanya, siapa banyak bertanya, lemahlah imannya". Gelaran ustaz dan tok guru bukanlah jaminan menjadikan apa disebutnya betul belaka. Ia terdedah kepada kesilapan.
Sandaran kepada dalil yang sahih adalah langkah terbaik. Sikap dan prinsip kita untuk menerima sesuatu yang sahih saja adalah langkah pertama dalam membentuk budaya ini.
Wacana agama matang 2017 juga tahun yang kita perlu suburkan lagi wacana agama merentasi mazhab, bangsa dan negara.
Terutamanya dalam bab fiqh.
Ia perlu dibahaskan dalam konteks meluas. Tidak terikat dengan satu mazhab dan melihatnya dalam konteks umat Melayu sahaja.
Apabila perbahasan berkenaan isu diulas dari sudut agama dengan sudut pandang yang lebih luas, menjangkaui batasan mazhab, bangsa dan negara, barulah pandangan tersebut dilihat lebih praktikal, indah dan tidak asing dengan kehidupan manusia.
Selari dengan prinsip pengutusan Rasulullah SAW yang membawa rahmat buat sekalian alam.
Kadang-kadang perbincangan sesuatu isu berkaitan agama menjadi sensitif, tegang, jumud, ketinggalan zaman dan menimbulkan perbalahan kerana dilihat dalam konteks yang sempit.
Hanya mengambil kira pandangan satu mazhab. Masih terikat dengan tradisi masyarakat Melayu dan diulas pula mereka yang tidak berfikiran matang dalam menguruskan perbezaan pandangan.
Lalu, apabila ada pihak yang mengulas sesuatu isu agama dengan membawa pandangan yang luas, sahih dan praktikal, mereka sukar menerimanya.
Ditolak mentah-mentah dengan alasan "tak pernah dengar pun" atau "ini bukan cara kita" atau "orang dulu-dulu tak sebut pun macam ini" dan pelbagai lagi alasan berbunyi. Lebih malang, apabila sukar memahami perbahasan, jalan mudah menghadapinya ialah diberikan label tertentu dengan konotasi negatif.
Bagi yang berkedudukan dan ada kuasa, digunakan pula kuasa menyekat dan menghalang perbincangan ilmiah tanpa alasan matang.
Jadi, tahun baharu ini mesti menjadi titik tolak untuk disemarakkan perbincangan isu agama dengan luas, adil dan matang.
Agenda 2017 juga harus dimasukkan dengan aktiviti mendalami ilmu agama dengan metodologi ilmiah.
Ilmu Islam mempunyai disiplin dan prinsip yang sangat kuat. Pilihlah majlis kuliah yang menekankan prinsip dalil, sumber yang sahih, fiqh taysir (fiqh yang memudahkan), cara berdalil yang betul dan dengan rujukan diiktiraf.
2017 mesti digerakkan kuliah dan program agama berkualiti.
Bukan sekadar dihidangkan lawak jenaka dan bergelak ketawa sepanjang masa.
Habis kuliah, pendengar lebih ingat tentang lawak jenaka ustaz, berbanding ilmu yang didapati.
Negara kita tidak kurang dengan ilmuwan berkualiti dan mempunyai latar pendidikan tinggi.
Tetapi, mereka tidak dikenali kerana kurangnya publisiti.
Mereka ini sepatutnya diangkat dan diketengahkan kepada masyarakat.
Ucapkan selamat datang buat 2017.
Semoga kehadirannya memberi sinar baharu buat kehidupan.
Tahun baharu dengan cara fikir baharu bagi membina hidup baharu.
Hidupkan agama dan bina kehidupan dengan nilai agama.
Himpunan koleksi kata-kata dikongsi bersama Jemaah A.I.M
➡ Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM